fb fb fb fb fb

Kebaya diiktiraf sebagai warisan tidak ketara UNESCO

Foto MOTAC

KUALA LUMPUR, 5 Disember – Malaysia mencatat kejayaan penting apabila kebaya diiktiraf sebagai elemen warisan kebudayaan tidak ketara di bawah kategori Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity oleh UNESCO.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan, pengumuman dibuat pada sesi ke-19 Jawatankuasa Antara Kerajaan untuk Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara (IGC ICH) yang berlangsung pada 2-7 Disember 2024 di Asuncion, Paraguay.

"Pencalonan bertajuk Kebaya: Knowledge, Skills, Traditions and Practices ini merupakan usaha bersama antara Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, dan Thailand," menurut kementerian itu menerusi kenyataan.

Keputusan itu diumumkan pada 4 Disember 2024, pukul 9.50 malam waktu Malaysia.

Ini menjadikan kebaya sebagai pencalonan ketiga secara bersama yang berjaya diperoleh Malaysia, selepas pantun bersama Indonesia (2020) dan Upacara Wangkang bersama China (2020).

Pengiktirafan ini diputuskan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan UNESCO yang terdiri daripada 24 Negara Anggota Konvensyen 2003 untuk Perlindungan Warisan Budaya Tidak Ketara.

Lebih membanggakan, badan penilai UNESCO mengiktiraf dokumen pencalonan kebaya sebagai contoh pencalonan yang kukuh dan berprestij.

Pengiktirafan ini meningkatkan visibiliti Malaysia sebagai negara dengan khazanah budaya tidak ketara yang berpotensi menjadi produk pelancongan, sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Kejayaan ini juga mencerminkan kerjasama erat negara ASEAN dalam mempromosikan kebaya sebagai simbol warisan serantau yang turut mempamerkan kepimpinan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam usaha memperkukuh kedudukan untuk menduduki Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal 2025-2029.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN