fb fb fb fb fb

Sambutan Deepavali di Negeri Sembilan, meriah

(Kuil Sri Balathandayuthapani, Seremban)

SEREMBAN, 24 Oktober- Lebih 5,000 penganut agama Hindu berkunjung ke Kuil Sri Balathandayuthapani, Seremban yang merupakan antara kuil yang terbesar di negeri itu untuk upacara sembahyang sempena Deepavali. 

Setelah dua tahun perayaan Deepavali disambut dalam keadaan yang sederhana ekoran wabak COVID-19, tahun ini Pesta Cahaya itu dapat diraikan dengan lebih meriah tanpa Tatacara Pengendalian Piawai (TPP) ketat.

Walaupun tiada TPP dikenakan, orang ramai dilihat masih memelihara kawalan kendiri demi memastikan keselamatan serta kesihatan. 

Dalam pada itu, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Pengerusi Kuil-kuil Hindu Negeri Sembilan, Kapt (B) Parameswaran Renggasamy menyatakan, "pelaksanaan PRU-15 sama sekali tidak menjejaskan sambutan perayaan Deepavali."

Tambahnya, "keluar mengundi menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia kepada negara."

(Pengunjung melakukan upacara sembahyang sempena Deepavali)

Nanthan Athi, seorang pekerja swasta dari Kota Kinabalu, Sabah juga turut merasakan kemeriahan dalam meraikan Deepavali ditambah pula dengan bahang yang dirasakan daripada PRU-15 membuatkan dia tidak sabar untuk melaksana tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

Dia turut berpendapat, "sebenarnya PRU-15 tidak menghalang kemeriahan Deepavali, kerana tidak kira apa pun kita sebagai rakyat Malaysia mesti menunaikan tanggungjawab kepada negara dan tidak menjadikan perayaan ini sebagai alasan untuk tidak mengundi.

"Perayaan kali ini sangat meriah kerana selepas dua tahun tidak pulang ke Semenanjung, ini merupakan satu peluang untuk menyambutnya bersama keluarga dengan pelbagai kuih tradisional dan semestinya kari."

Bagi suri rumah, Thevi Nagaratham berkata, "PRU juga sama sambutannya seperti Deepavali, ia memberikan suasana gembira. Jadi, saya harap PRU kali ini akan membawa perubahan yang baik untuk negara."

Seorang pesara, Subramaniam Gopal turut merasakan perkara sama, "saya rasa PRU kali ini, tidak mengganggu perayaan Deepavali. Ini juga merupakan peluang yang besar kepada calon calon untuk sama-sama merayakan Deepavali."

Media Baharu