KUANTAN, 11 Mac- Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Cempaka, Sungai Soi, pada pukul 4.00 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa bersama empat orang rakan sebayanya pergi ke pantai tersebut kira-kira pukul 3.30 petang.
Bagaimanapun, empat rakannya selamat.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 4.30 petang.
"Empat orang rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri dan berenang ke tepi pantai manakala mangsa didapati telah hilang,” menurutnya dalam kenyataan.
Mangsa yang hilang, Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri (15) pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Soi.
Manakala mangsa yang selamat ialah Mohd Adam Farhan Mohd Asri, Syed Amirrul Hakimi Syed Mohd Khairul Anuar, Muhammad Haziq Haikal Rohaidi dan Syed Irfan Dannis Syed Mohamad Fitri.
Seorang remaja berusia 15 tahun hilang dibawa ombak dan dikhuatiri lemas ketika mandi
di Pantai Cempaka, Sungai Soi, Kuantan / Foto ihsan polis
Beliau berkata, siasatan awal mendapati keadaan pantai berombak tinggi dan air laut pasang selain angin kencang.
Operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan dengan tumpuan rondaan di sepanjang pesisir Pantai Cempaka hingga ke Pantai Sepat.