fb fb fb fb fb

Remaja hilang di Bukit Broga ditemukan meninggal dunia

FOTO JBPM

KUALA LUMPUR, 28 Mei- Seorang remaja lelaki ditemukan meninggal dunia hari ini selepas dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti riadah di Bukit Broga, Semenyih, semalam.

Menurut Komander Operasi, Shahrin Yusmar Mat Yusof, mangsa ditemui pada pukul 2.50 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat SAR dalam jarak 500 meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) Bukit Broga di kawasan curam dan bersemak.

"Mangsa kemudiannya dibawa turun oleh pasukan SAR ke PKB. Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh petugas perubatan KKM daripada Hospital Kajang pada jam 3.42 petang. Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,"katanya dalam satu kenyataan.

Operasi SAR turut dibantu oleh pelbagai agensi iaitu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Renjer Jabatan Perhutanan (JPSM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan ALK UPNM.

Selain pasukan Bomba BBP Semenyih, pegawai Bomba daripada Zon 4, JBPM Negeri Selangor, pasukan MUST team dan Unit Pengesan (K9) turut digerakkan dalam operasi tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata mangsa, Adi Putra Affendi, 16, dikatakan menjalankan aktiviti riadah terbabit bersama penjaganya berusia 40-an dan dua rakan berumur 13 tahun.

Mangsa bersama penjaga dan dua rakannya memulakan aktiviti pendakian kira-kira 7.50 pagi dan mangsa hanya disedari hilang pada 12.30 tengah hari, semalam.

“Remaja lelaki itu kemudiannya ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan berbatu berhampiran lorong pendakian, selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans kira-kira 3.40 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Kajang untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sub Insp Mohd Yusoff Nor di talian 019-9132784, bagi membantu siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE