KUANTAN, 12 Mac - Remaja lelaki yang didakwa hilang selepas dihanyutkan ombak semasa mandi di Pantai Cempaka di sini pada Jumaat, ditemukan lemas pukul 11.50 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner (ACP) Wan Mohd Zahari Wan Busu dalam satu kenyataan berkata, mayat Nazrul Aimi Shah Kamarul Bahri, 15, ditemukan oleh orang awam terdampar di Pantai Sepat, kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia didakwa hilang.
"Keluarga mangsa telah mengesahkan identiti mangsa di lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat.
Mangsa didakwa hilang semasa dia bersama empat rakan mandi di pantai itu, selepas mereka dipukul ombak dan dihanyutkan ke kawasan agak dalam.
Bagaimanapun, semua rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.
(FOTO HIASAN)
Ketika kejadian, keadaan pantai didapati berombak tinggi dan air laut pasang selain angin kencang.