KUALA LUMPUR, 18 November - Malaysia mencatat sejarah baharu apabila akaun perkhidmatan negara merekodkan lebihan sebanyak RM0.7 bilion pada suku ketiga 2025, sekali gus menandakan pemulihan ekonomi yang semakin kukuh selepas lebih 14 tahun berdepan defisit berterusan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan disiplin fiskal, penyasaran subsidi serta pengurusan ekonomi yang lebih teratur di bawah Kerajaan MADANI.
"Defisit kita sebelum ini memang menjadi masalah, namun pada tahun 2025, angka bagi suku ketiga menunjukkan bahawa buat pertama kali selepas 14 tahun, kita mencatatkan lebihan dan kini berjaya diatasi, dengan lebihan sebanyak RM0.7 bilion bagi sektor perkhidmatan pada suku ketiga. Pencapaian ini hasil perancangan ekonomi yang berkesan. Imbangan akaun semasa juga menunjukkan perkembangan positif, mencatatkan 12.2% pada suku ketiga,” jelas beliau.
Tambah Datuk Seri Anwar, langkah penyasaran subsidi serta penstrukturan semula perbelanjaan pembangunan dan infrastruktur telah berjaya mengurangkan defisit secara berperingkat, pada masa sama meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.
Perdana Menteri turut menyatakan bahawa prestasi Ringgit pada masa ini adalah antara yang terbaik di rantau Asia, selaras dengan keyakinan pasaran terhadap kestabilan dasar kerajaan.
Beliau menjawab pertanyaan wakil Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
