fb fb fb fb fb

Nama kekal dalam kertas undi meski calon PH DUN Silam tarik diri

Abdul Halim Sidek Gulam Hassan mengesahkan penarikan dirinya sebagai calon PH bagi kerusi DUN Silam pada Pilihan Raya Negeri Sabah, semalam / Foto fail

KUALA LUMPUR, 18 November - Nama calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan akan kekal dalam kertas undi meskipun beliau telah mengumumkan penarikan diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus menerusi satu kenyataan berkata, SPR mengambil maklum tentang penarikan diri Abd Halim Sidek yang telah diisytiharkan sebagai salah seorang calon pada Hari Penamaan Calon, Sabtu lepas.

Bagaimanapun, peraturan pilihan raya tidak membenarkan mana-mana calon menarik diri selepas waktu yang ditetapkan.

Perkara itu diperuntukkan bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 yang menyatakan bahawa tiada calon boleh menarik pencalonannya selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan.

Sehubungan itu, pencalonannya tetap sah dan namanya akan terus dipaparkan dalam kertas undi bagi kawasan DUN Silam.

Semalam, Abdul Halim Sidek mengumumkan bahawa beliau menarik diri sebagai calon PH di Silam dan menegaskan keputusan itu dibuat atas pertimbangan peribadi dan tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

EMMI NORALIZA ADNAN