SERI KEMBANGAN, 27 Januari- Hujan lebat yang mengakibatkan kerosakan dan rekahan baharu dikesan di kawasan tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata kerja-kerja baik pulih masih giat dijalankan agensi berkaitan.
Ujarnya lagi, pakar geologi kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya juga sedang membuat penilaian dari semasa ke semasa.
"Proses itu akan mengambil masa lebih kurang tujuh hari untuk menyiapkan lebih kurang 150 meter kawasan yang mendapat tanah mendap itu. Jadi proses tu sedang berlangsung semalam kita dapati 50 besi telah pun dicucuk ditanam bagi memastikan ia tidak merebak ke kawasan yang lain dan kita juga menasihatkan kepada tuan punya premis kedai di hadapan itu ada 17 kedai, kita telah menasihatkan mereka agar mengosongkan rumah kedai sehingga keadaan selamat baru boleh pulang," katanya.
Selasa lalu, sebanyak lima buah kenderaan yang diletakkan di tepi Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan itu.