fb fb fb fb fb

Reka bentuk teras strategik dalam pembangunan industri - Tengku Zafrul

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Reka bentuk kini bukan sekadar soal estetik, sebaliknya menjadi alat strategik yang memacu kecekapan, keselamatan, kepercayaan dan inovasi merentasi pelbagai sektor, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Jelasnya, reka bentuk yang baik mampu memperkukuh daya saing industri, menjadikan produk lebih intuitif dan perniagaan lebih strategik.

“Reka bentuk yang baik ibarat infrastruktur tidak kelihatan tetapi penting. Ia membentuk cara manusia berinteraksi dengan sistem, produk dan antara satu sama lain,” katanya.

Tengku Datuk Seri Zafrul berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Malaysia Good Design Award (MGDA) dan Certified Industrial Designer (CiDe) 2025 di sini, malam tadi.

Seramai 39 pemenang MGDA daripada 19 syarikat serta 22 pereka industri diraikan atas sumbangan mereka terhadap pembangunan reka bentuk negara.

Tambah beliau, reka bentuk yang berkualiti tinggi terbukti memberi impak besar dalam pelbagai bidang daripada automotif dan aeroangkasa, teknologi perubatan, pertanian pintar hingga kepada penyelesaian digital serta perdagangan.

“Tahun lalu, sektor kreatif digital Malaysia menjana pendapatan sebanyak RM5.3 bilion, dengan eksport hampir RM800 juta serta mewujudkan lebih 10,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.

"Secara keseluruhan, ekonomi kreatif negara menyumbang RM30 bilion atau 2 peratus kepada KDNK. Ini membuktikan reka bentuk bukan satu kemewahan, tetapi pemacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan Rancangan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Rancangan Malaysia ke-13 akan terus memberi tumpuan kepada reka bentuk dalam meningkatkan produktiviti, menyokong agenda ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) serta memperkukuh daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat besar di peringkat global.

Jelasnya, Malaysia turut menghargai kerjasama reka bentuk yang terjalin dengan negara-negara ASEAN lain dalam usaha memperkukuh inovasi, keterangkuman dan kemakmuran bersama di rantau Asia.

Dalam majlis itu, Tengku Datuk Seri Zafrul turut mengumumkan penganjuran Kuala Lumpur Design Summit (KLDS) 2026, yang akan menjadi platform antarabangsa bagi menghimpunkan pereka, pemimpin industri, agensi kerajaan dan rakan global untuk memperkukuh ekosistem reka bentuk negara.

Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, sidang kemuncak itu akan menjadi pentas untuk mempamerkan kreativiti, daya cipta dan kepimpinan Malaysia dalam reka bentuk di peringkat dunia.

“Dengan semangat Malaysia MADANI, saya yakin kita dapat membina ekonomi yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga inovatif, mampan dan inklusif,” katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM