KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER - Malaysia terus mengamalkan pendekatan perdagangan antarabangsa yang pragmatik dan berpaksikan kepentingan nasional bagi memperkukuh daya saing, menarik pelaburan asing serta meluaskan pasaran eksport.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Antarabangsa), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa, strategi itu membolehkan Malaysia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana negara tanpa terikat kepada ideologi atau blok politik tertentu.
“Pendekatan ini telah memberi banyak manfaat kepada Malaysia. Ia membolehkan kita bekerjasama dengan semua negara kuasa besar, negara membangun atau ekonomi kecil, selagi mana membawa faedah kepada negara” katanya.
Mastura ditemui selepas menjadi tetamu program Bicara Naratif di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media, di sini, semalam.
Beliau turut menjelaskan pendekatan pragmatik tersebut membolehkan Malaysia menyesuaikan dasar dagangan mengikut perubahan landskap ekonomi global, termasuk isu terkini merangkumi transformasi digital, kelestarian alam sekitar dan keselamatan ekonomi.
Strategi ini akan terus menjadi asas kepada usaha MITI dalam memastikan kedudukan Malaysia kekal sebagai rakan dagang yang diyakini serta destinasi pelaburan utama di rantau ini.