JOHOR BAHRU, 22 Oktober- Dua orang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah, di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shafie Md Din berkata, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.44 malam tadi.
Pencarian awal dilakukan di permukaan air pada jarak 25 kaki dari tebing sebelum operasi disambung oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Menurutnya, kedua-dua mangsa ditemukan di bawah batu pada kedalaman 10 kaki, kira-kira lima meter dari tebing pada pukul 2.28 pagi.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Rayyan Iskandar Mohamed Hafiziee, 9 tahun, dan Muhammad Khalish Rayqarl Hasimibudi, 10 tahun, disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 3.05 pagi.