fb fb fb fb fb

Kanak-kanak perempuan meninggal dunia akibat strok haba

FOTO FAIL / BERNAMA

KOTA BHARU, 21 Oktober - Seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun disahkan meninggal dunia akibat strok haba selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan di Tanah Putih, Gua Musang, Kelantan, semalam.

Menerusi kenyataan, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintenden Sik Choon Foo berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.50 petang daripada seorang lelaki yang memaklumkan penemuan kanak-kanak berkenaan.

"Mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.

"Hasil bedah siasat dijalankan pakar Patologi Forensik mendapati punca kematian kanak-kanak tersebut adalah akibat strok haba,” katanya.

Jelasnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut serta masih dalam siasatan.

Tambah beliau, ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan memastikan keselamatan anak-anak sentiasa di bawah pemantauan serta tidak meninggalkan mereka tanpa pengawasan terutama di dalam kenderaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Gua Musang di talian 09-9121222 atau balai polis berhampiran.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM