fb fb fb fb fb

Lawatan Ketua Pengarah ILO cerminkan hubungan erat Malaysia-ILO

FOTO KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

KUALA LUMPUR, 21 Oktober –  Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hari ini mengadakan pertemuan bersama Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F. Houngbo, serta wakil-wakil kerajaan, majikan dan pekerja di sebuah restoran di ibu negara.

Lawatan rasmi berkenaan mencatat sejarah tersendiri apabila ia merupakan lawatan pertama Ketua Pengarah ILO ke Malaysia, sekali gus mencerminkan hubungan erat dan kerjasama kukuh antara Malaysia dan ILO sejak sekian lama.

Dalam pertemuan itu, Steven turut memaklumkan hasrat Malaysia untuk menyertai 'Global Coalition for Social Justice' semasa Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-114 pada tahun hadapan.

"Inisiatif yang diterajui ILO sejak tahun 2023 itu bertujuan memperkukuh usaha global ke arah keadilan sosial sejagat, manakala penyertaan Malaysia bakal menzahirkan komitmen negara dalam melindungi hak pekerja, memperluas perlindungan sosial dan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)."

Tambah Steven, Ketua Pengarah ILO itu dijadualkan turut hadir ke Forum Kemahiran Global esok.

"Forum berkenaan dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama serantau berkaitan pembangunan kemahiran dan pekerjaan masa depan," katanya lagi.

Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin tripartit negara termasuk Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor dan Naib Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Mohd Zool Asmani Mahmood.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM