KUALA LUMPUR, 21 Januari- Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) berharap, kerajaan dapat mempertimbang untuk melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC), yang berakhir 31 Disember lalu.
Timbalan Presidennya, Datuk N.K. Tong berkata, REHDA telah mengemukakan cadangan dan masih menunggu kata putus kerajaan mengenai perkara itu.
Jelasnya, kempen tersebut amat membantu dalam memacu jualan hartanah di negara ini, sekaligus menghidupkan semula ekonomi.
"Bagaimanapun, pelaksanaan HOC sedikit terganggu pada separuh kedua tahun lalu, akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjejaskan aktiviti jualan, selain aktiviti pemasaran dalam talian yang masih kurang berkesan.
Bilik pameran ditutup lima bulan tahun lalu sepanjang tempoh PKP, wujud jualan dalam talian namun tidak memadai," katanya selepas perasmian Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah Tahunan anjuran REHDA di sini.