ALOR SETAR, 21 Januari- 17 buah motosikal disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ Kedah dalam Ops Khas Motosikal Roda 3 (barangan) dan Pemandu Warga Asing (PEWA).
Ia hasil operasi yang dilakukan di Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah.
Pengarah JPJ Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie berkata fokus operasi tersebut menyasarkan kesalahan memandu tanpa lesen memandu mengikut kelas yang betul, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insuran tamat tempoh serta lain-lain kesalahan teknikal termasuk melibatkan penunggang motosikal warga asing.
Sepanjang operasi berkenaan, anggota JPJ berpakaian preman menerusi kaedah penguatkuasaan secara penyamaran dan rondaan menggunakan motosikal.
Dalam operasi selama enam jam itu, sebanyak 54 kenderaan telah diperiksa.
59 saman dan 17 notis sita dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk membabitkan 20 warga asing.
34 saman atas kesalahan tiada lesen CDL, 10 saman cukai jalan tamat tempoh, 8 saman insuran tamat tempoh dan 7 saman atas kesalahan lain.