PUTRAJAYA, 21 Januari- Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia-Singapura dibuka semula berkuat kuasa hari ini selepas ia ditangguhkan sejak 23 Disember lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan penilaian risiko berdasarkan situasi semasa COVID-19 di kedua-dua negara.
Bagaimanapun, kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada, iaitu pengurangan 50 peratus kapasiti bas dan penerbangan.
"Bagi penumpang yang telah membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari 2022, sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenar untuk meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini mengikut kuota yang telah ditetapkan sebelum ini.
Garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket ini akan bergantung kepada penilaian risiko yang akan dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan oleh KKM berdasarkan situasi COVID-19 semasa di kedua-dua negara," katanya menerusi satu kenyataan media.
Sehubungan itu, pengembara yang menggunakan platform VTL Malaysia-Singapura diingatkan supaya melaksanakan ujian RTK-Ag atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari ke-2, ke-4, dan ke-6 selepas ketibaan.
Bagi RTK-Ag atau ujian pantas antigen (professional) pula, ujian perlu dilakukan pada hari ke-3 dan ke-5 selepas ketibaan.