ALOR SETAR, 21 Januari- Pasukan Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia, BSYJM terpaksa mengubah suai ambulan miliknya bagi membawa seorang pemuda obesiti yang mempunyai berat lebih 200 kilogram.
Pemuda terbabit, Muhamad Irfan Abdul Wafti, 37 tahun, perlu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyyah, HSB Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
Operasi membawa Muhammad Irfan dari rumah keluarganya di Taman Sofea, Jalan Kuala Kedah ke HSB dilakukan oleh 7 pegawai dan anggota pasukan BSYJM diketuai Pengarahnya, Mahadzir Abd Hamid, petang semalam.
Operasi tersebut yang dilakukan secara percuma mengambil masa kira-kira 15 minit.
Menurut Mahadzir, pihaknya mengubahsuai dengan mengosongkan bahagian belakang ambulan jenis Iveco unit 19 yang kebiasaannya menempatkan tempat duduk dan katil pesakit.
Menggunakan peralatan khas, Muhammad Irfan diusung dari bilik ke dalam ambulan.
Katanya, operasi tersebut dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini.
"Kita juga menggunakan peralatan pengusung khas yang dibuat daripada besi bagi membolehkan mudah untuk kita nak angkat beliau, kalau kita guna pengusung biasa tak mampu nak tambung berat yang melebihi 130 kilogram. Jadi kita kena guna pengusung khas." Kata Mahadzir ketika ditemui di rumah keluarga Muhammad Irfan di sini.
Sebelum ini, keluarganya pernah mendapatkan khidmat lori milik pasukan bomba dan penyelamatan Malaysia untuk membawa Muhammad Irfan mendapatkan rawatan di HSB.
Menurut adiknya, Azli Mizi, abang sulung dari lima beradik itu mengalami obesiti sejak kecil dan keadaannya stabil seketika selepas mendapatkan rawatan di HSB setahun yang lalu.
"Hospital ada kemudahan fisioterapi, kat rumah dia tak boleh buat macam tu..selama setahun lebih la dok kat rumah, kemungkinan sebab tu dia sakit balik..sakit badan saja, dia tidak ada sakit lain, mungkin sendi-sendi dia dah sakit, berat badan pun makin naik balik, sebelum ni dia balik daripada HSB berat badan lebih kurang 160 kilogram, dah terlalu lama di rumah selepas tu berat badan dia dalam 200 kilogram lebih sekarang ni," kata Azli Mizi.
Muhammad Irfan pernah membantu keluarganya mengusahakan perniagaan catering.
Namun ekoran keadaan kesihatannya kini, perkerjaan tersebut terpaksa dilupakan.