fb fb fb fb fb

Rebah ketika tawaf, Abe Loh dikenali sebagai seorang ceria, pemurah

Rakan Allahyarham, Ashri Mohamed

MEKAH, 20 Mei- Pemergian Allahyarham Abdullah Mat, 59 atau mesra disapa Abe Loh, meninggalkan kesan mendalam kepada ahli keluarga dan rakan-rakannya. Dikenali sebagai seorang yang ceria, pemurah dan suka bersedekah. Allahyarham adalah seorang yang cukup disenangi dalam kalangan rakan-rakan yang mengenalinya. 

Allahyarham meninggal dunia selepas rebah ketika tawaf ke-5 di Masjidilharam. 

Ketika kejadian, Allahyarham Abdullah bersama empat orang rakannya sempat merakamkan gambar kenangan sebelum memulakan tawaf sunat di Masjidilharam. 

Menurut rakan Allahyarham, Ashri Mohamed, ketika kejadian mereka sedang bertawaf bersama sebelum melihat arwah tiba-tiba memperlahankan langkah.

"Waktu kami tawaf sampai pusingan kelima, dia makin slow. Saya ingat dia hendak pergi solat, sebab hampir waktu solat, sampai garisan hijau, dia makin slow. Saya ikut rapat daripada belakang. Dia macam hendak pegang orang sebelah, saya pun sambut, dia jatuh di situ", katanya.

Sepanjang mengenali Allahyarham, rakan-rakan sebiliknya menyifatkannya sebagai seorang yang ceria, mesra dan suka bersedekah. 

"Peramah, ceria tiada masalah... boleh berlawak, boleh bergurau. Dari segi makan minum, dia suka bersedekah, beli buah tamar bagi-bagi begitulah", ujar Ashri.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Sarifah Hassan berkongsi detik ketika menerima panggilan daripada pihak hospital berhubung keadaan suaminya pada pagi hari kejadian. 

"Sabar kak, sabar kak. Suami puan dah tiada. Saya terkejut dan saya hempas telefon... saya menangis peluk kawan-kawan. Saya tidak tahu dari hospital mana", katanya.

Walaupun Sarifah redha dengan pemergian suaminya, namun kehilangan tempat bergantung itu amat dirasai. 

"Tengok kuat dari segi zahir, tapi dalaman sebenarnya saya tidak kuat. Sebab saya bergantung semua suami saya. Jadi, umpama tiada dia, tiada 'sayap' sebelah saya. Anak-anak pula positif, abah pergi tempat 'molek'. Kami tunggu mak balik", katanya.

Allahyarham Abdullah Mat, jemaah haji Malaysia dari Pasir Mas, Kelantan meninggal dunia di Hospital Jiwar, Jabal Omar, Mekah pada pagi 19 Mei 2025, akibat serangan jantung.

ROSLINA BINTI DIN