LANGKAWI, 20 Mei - Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025 mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah kehadiran wakil media, sekali gus menggambarkan perhatian global terhadap kepentingan strategik acara bertaraf antarabangsa ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, lebih 600 wartawan tempatan dan antarabangsa telah berdaftar bagi membuat liputan sepanjang pameran berlangsung, berbanding sekitar 400 wartawan pada edisi terdahulu.
"Daripada segi liputan rasmi, kita dimaklumkan tahun ini lagi ramai wartawan. Kalau tidak silap dua tahun lalu dalam 400 orang, kali ini pendaftaran mencecah 600. Jadi memang daripada segi liputan memang ramai," katanya ketika ditemui pemberita RTM di tapak perasmian LIMA ’25 di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), di sini.
Tambah beliau, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sahaja menghantar seramai 80 petugas ke Langkawi bagi memastikan liputan menyeluruh dan holistik dapat disampaikan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi turut memberi fokus kepada aspek kesalinghubungan dan infrastruktur digital sepanjang acara, bagi memastikan penyampaian maklumat serta pengalaman digital yang lancar kepada pengunjung dan pihak media.
"Setakat ini, liputan 5G memuaskan dan sudah pasti ramai yang akan memuat naik kandungan dalam media sosial, termasuk video" jelasnya.
Mengulas peranan LIMA'25 dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital, Datuk Fahmi berkata acara LIMA ’25 membuka ruang luas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dalam usaha menonjolkan keupayaan mereka di pentas antarabangsa.
"Kalau kita lihat di ruang pameran, banyak syarikat tempatan yang terlibat. Ini peluang yang sangat baik untuk mereka tonjolkan keupayaan dan produk masing-masing. Dengan adanya kesalinghubungan yang baik, saya percaya ramai akan dapat melihat potensi sebenar syarikat tempatan," kata Datuk Fahmi.
Sebagai jurucakap Kerajaan MADANI, beliau turut menekankan penganjuran LIMA'25 sejajar dengan usaha Malaysia ke arah transformasi digital menjelang peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
"Pertahanan dan keamanan saling melengkapi, tetapi pada masa sama pertahanan tidak boleh lengkap tanpa kesalinghubungan. Kita harap keupayaan kita menunjukkan capaian internet yang laju, murah dan meluas ini boleh menjadi ikutan bagi negara-negara ASEAN yang lain," katanya.
Ketika ditanya mengenai elemen paling dinantikan sepanjang acara ini, beliau secara bersahaja menyebut "Toruk Makto" katanya merujuk kepada jet pejuang yang menjadi tumpuan dan tular di media sosial.
LIMA'25 yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei menyaksikan penyertaan ratusan delegasi antarabangsa dan pemain industri, mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai medan strategik utama rantau ini dalam bidang pertahanan, aeroangkasa dan komunikasi digital.