KUALA LUMPUR, 26 September - Penganjuran sulung Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle Regional Business Excellence Awards (RBEA) menjadi bukti komitmen tiga negara dalam mengangkat pertumbuhan ekonomi berasaskan integriti, inovasi dan kelestarian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Serantau IMT-GT 2025 bukan sekadar pengiktirafan, tetapi isyarat jelas bahawa IMT-GT bersedia memacu pertumbuhan yang dipacu sektor swasta dengan sokongan kerajaan.
“Di bawah Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menekankan agenda keterangkuman dan kelestarian.
"Ia seiring dengan matlamat IMT-GT Vision 2036 yang menumpukan kepada konektiviti, fasilitasi perdagangan, pendigitalan dan pembangunan mampan", katanya pada ucapan perasmian majlis anugerah kecermelangan Perniagaan Serantau IMT-GT 2025 di sini, hari ini.
Beberapa dasar utama negara seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) turut ditekankan oleh beliau sebagai isyarat pelaburan kepada pasaran.
Anugerah ini juga mengiktiraf syarikat yang mengutamakan tanggungjawab iklim melalui Green City Action Plan termasuk amalan ekonomi kitaran, penciptaan pekerjaan hijau dan laporan telus berimpak kewangan serta alam sekitar.
Datuk Seri Fadillah Yusof turut menekankan keperluan melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti jurutera, saintis data, juruteknik dan pengurus kelestarian, bagi memastikan transformasi ekonomi hijau serantau dapat direalisasikan.
“Kepada komuniti perniagaan gunakan platform ini untuk diperluas merentasi sempadan selain bina rantaian nilai serantau, juga perlu jalinkan kerjasama dengan bandar dalam projek seiring GCAP meliputi tenaga, mobiliti, sisa, air dan alam semula jadi.
"Tingkatkan kemahiran tenaga kerja anda, dan ukur impak yang dihasilkan, apa yang diukur, itulah yang akan dibiayai", katanya.