fb fb fb fb fb

Tuanku Syed Faizuddin terima Doktor Kehormat dari UMSU Indonesia

Foto BERNAMA

MEDAN, 27 September- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dianugerahkan Doktor Kehormat (Honoris Causa) dari Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), sebuah universiti Islam tersohor dunia.

Baginda turut menerima Anugerah Bintang Tertinggi Muhammadiyah (Mitra Bestari Muhammadiyah Internasional), iaitu satu penghormatan julung kali dikurniakan, melambangkan hubungan erat antara gerakan Islam terbesar di Asia Tenggara itu dengan negeri Perlis.

Pimpinan Pusat Muhammadiyah turut mengiktiraf Tuanku Syed Faizuddin sebagai seorang tokoh pendidikan merentas sempadan.

Tuanku Syed Faizuddin dalam titahnya menzahirkan penganugerahan ini tidak dilihat sebagai pengiktirafan peribadi semata-mata, tetapi hasil kolektif institusi di Perlis yang gigih membangun masyarakat menerusi MAIPs, UniMAP, UniSIRAJ, Yayasan Tuanku Syed Putra, Yayasan Tuanku Fauziah dan Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE).

"Sesungguhnya saya percaya pendidikan adalah kunci ketamadunan. Universiti seperti UMSU berperanan melahirkan generasi yang cemerlang dan berakhlak mulia.

"Gelaran kehormatan ini melambangkan komitmen bersama menjadikan ilmu sebagai cahaya," titah baginda.

Penganugerahan UMSU ini bersempena International Conference on Holistic Opportunities for Poverty Empowerment (ICOHOPE 2025) di Grand Mercure Medan Angkasa.

Persidangan ini menjadi pentas ilmuwan, pemimpin masyarakat dan industri membincangkan strategi membantu asnaf dalam pelbagai aspek di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Bangladesh.

Turut berangkat mengiringi baginda Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello