TAWAU, 26 September - Kerajaan Perpaduan menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan nasib rakyat melalui pelaksanaan dasar dan program yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjuangan kerajaan tidak boleh hanya diukur melalui slogan, sebaliknya perlu dibuktikan dengan tindakan dan hasil nyata.
Antara inisiatif konkrit yang sedang dilaksanakan termasuk penyaluran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pemberian air percuma, kenaikan gaji penjawat awam, projek tebatan banjir, pembinaan sekolah baharu serta penyelesaian isu bekalan air di kawasan pedalaman.
"Perjuangan sebenar ialah melaksanakan amanah untuk rakyat, bukan menjanjikan bulan dan bintang tanpa bukti. Kerajaan hari ini membuktikan janji ditunaikan dengan tindakan nyata,” kata beliau ketika berucap pada Himpunan Temu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Terbuka Awam Merotai Besar, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Tambah Anwar, kerajaan juga komited memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk menambah kerusi Parlimen serta memastikan agihan pembangunan lebih seimbang.
Pada masa sama, Perdana Menteri menyeru semua pihak menolak politik perkauman dan perpecahan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak demi memastikan kestabilan negara serta masa depan rakyat terus terjamin.