fb fb fb fb fb

Kerjasama Persekutuan-Sabah perlu diperkukuh, teruskan pembangunan negeri - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut ketika hadir pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan Sempena 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan Kampung Kobuni Inanam hari ini/ Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 26 September - Kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah perlu diperkukuh sebaik mungkin agar kesinambungan pembangunan di negeri tersebut dapat diteruskan dengan baik dan inklusif.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR berkata ke arah itu, sokongan berterusan serta pertimbangan sewajarnya diperlukan terhadap Kerajaan Perpaduan (Pakatan Harapan) terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak lama lagi.

"Kita mahu Kerajaan Perpaduan kuat supaya kerjasama negeri dan persekutuan baik...saudara-saudara dari Parti Keadilan dan Pakatan Harapan mesti pastikan masa depan anak-anak lebih baik dari bapa-bapa (generasi terdahulu).. harapan kita 'better schools', 'better hospital and clinics', 'better road', baiki semua..apakah kita lakukan semua itu? Belum..kita percepatkan..sebab itu kita fikir bantuan kepada miskin tegar...ada orang kata tapi Pakatan Harapan tak terlalu banyak kerusi, tak mengapa, saya nak bagi tahu kita dalam puluhan kerusi itu akan menjadi penentu, kita punyai prinsip dalam hidup kita..parti ini perjuangan" katanya.

Beliau berkata demikian semasa Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat Peringkat di Inanam, di sini hari ini.

Anwar turut mengingatkan generasi muda agar mengekalkan semangat perjuangan yang pernah menjadi asas kekuatan rakyat sejak era reformasi.

Tambahnya, Kerajaan Perpaduan kini memberi penekanan kepada agenda rakyat termasuk menyediakan masa depan lebih baik untuk anak-anak melalui sekolah yang berkualiti, hospital serta klinik yang lebih baik, selain penambahbaikan infrastruktur asas seperti jalan raya, air, elektrik dan perumahan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN