fb fb fb fb fb

Rasionalisasi subsidi dan perlindungan sosial, KPDN mohon pertimbang dalam Belanjawan 2024

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Oktober- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta agar aspek rasionalisasi subsidi dan pengukuhan perlindungan sosial dipertimbang dalam Belanjawan 2024.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia penting kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah selain penekanan faktor tanggungan isi rumah.

"Kita khuatir sekiranya tidak ditambah baik aspek perlindungan sosial ini, maka sudah pastinya akan membebankan aspek daripada segi kos sara hidup tersebut.

Jadi, dasar subsidi bersasar itu bukan hanya semata pemberian bentuk subsidi kepada golongan sasar, ia perlu hadir bersama penambahbaikan perlindungan sosial kepada masyarakat," kata Armizan kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Pendaftaran Francais dan Lesen Jualan Langsung, di sini.

Tambah Armizan, keperluan aspek itu diharap dapat mengatasi cabaran yang dihadapi KPDN berkaitan isu harga barangan keperluan.

Ia turut membantu lonjakan dalam peningkatan keterjaminan makanan menerusi penghasilan domestik.


(FOTO BERNAMA)

Sementara itu, kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diharap akan diisi dalam masa terdekat.


Pemangkunya, Datuk Armizan Mohd Ali menyifatkan terdapat keperluan untuk mengisi kekosongan tersebut, menjelang pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat ini. 

"Pelantikan itu adalah prerogatif Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Saya rasa kalau kita spekulasikan perkara ini atau bercakap lebih banyak, lagi lambat Perdana Menteri akan mengisi kekosongan itu. Saya rasa kita tunggu sahaja. Memang ada keperluan untuk jawatan Menteri KPDN," kata Armizan kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Pendaftaran Francais dan Lesen Jualan Langsung, di sini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membuat keputusan berhubung rombakan Kabinet.

Media Baharu