(FOTO FB YB Senator Ras Adiba Radzi)
KUALA LUMPUR, 24 Februari - Presiden Persatuan Menembak Para Malaysia, Datuk Ras Adiba Radzi telah disenarai pendek oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) sebagai antara calon penerima Anugerah Hari Wanita Antarabangsa 2022.
Anugerah itu pada dasarnya mengiktiraf wanita dalam Pergerakan Paralimpik yang memberi inspirasi dan meneladani impian Paralimpik, di samping menjadi suri teladan yang positif, selepas menerima ratusan pencalonan.
"IPC dalam pengumuman di laman web rasminya berkata, Ras Adiba adalah salah seorang daripada tiga calon bagi kategori kepimpinan, yang mengiktiraf kepimpinan yang mampan dan konsisten dalam satu tempoh, advokasi, sumbangan keseluruhan serta impak mempromosikan dan menyokong wanita dalam sukan.
“Dengan komitmen untuk memberi inspirasi dan mengubah kehidupan Orang Kurang Upaya (OKU) menerusi Parlimen, (Ras Adiba) memacu perubahan, dan pada 2020 telah dipilih oleh Perdana Menteri untuk mewakili Komuniti OKU,” menurut kenyataan itu.
Dua lagi calon ialah Setiausaha Agung serta jurulatih Jawatankuasa Paralimpik Nasional (NPC) Zimbabwe, Oripa Mubika, dan Pengerusi Jawatankuasa Wanita dalam Sukan Jawatankuasa Paralimpik Asia, Prof Fatemeh Rakhshani yang juga naib presiden NPC Iran selama dua penggal.
Keputusan akan diumukan pada 8 Mac bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia.