fb fb fb fb fb

Jenazah balu bekas Mufti Perak, Allahyarham Puan Sri Ainon selamat dikebumikan

(Jenazah Allahyarham Puan Sri Ainon selamat dikebumikan 11.25 pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat)

IPOH, 24 Februari - Jenazah balu kepada bekas Mufti Perak, Allahyarhamah Puan Sri Ainon Abd Ghani selamat di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Sungai Rapat Ipoh, 11.25 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat sebelum dibawa ke tanah perkuburan diiringi ahli keluarga terdekat.

Anak kelima Allahyarhamah Puan Sri Ainon, Datuk Ahmad Wafi Harussani berkata beliau dan keluarga redha dengan pemergian ibu tercinta lebih-lebih lagi selepas sekian lama ibunya terseksa dengan kanser paru-paru sejak tahun 2000.

"Kami anggap ini satu takdir tuhan dan juga ia mungkin adalah yang lebih baik daripada terseksa. Kami anak beranak lihat macam mana keadaan dia dan terseksa dengan keadaan kesihatan, jadi sedih tapi kami lega sebab dia dah tidak menderita kesakitan itu," kata Ahmad Wafi kepada media.


(Jenazah Allahyarham Puan Sri Ainon disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat/BERNAMA)

Allahyarhamah Puan Sri Ainon, 82 tahun meninggal dunia semalam ketika sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh akibat demam.

Menurut Ahmad Wafi, ibunya meninggal dunia sebelum sempat mendapatkan rawatan dan tahap kesihatannya mula merosot sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Terdahulu, Allahyarham Ainon pernah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat jangkitan COVID-19 bersama suaminya, Allahyarham Harussani.

Namun, beliau sudah beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 21 Mei 2021.

Harussani, 82, meninggal dunia pada 30 Mei 2021 diikuti anak sulung mereka, A. Abdul Hakim Mazhar, 54, meninggal dunia akibat wabak berkenaan pada Ogos tahun lalu.

Allahyarham Harussani dan Ainon dikurniakan lima cahaya mata iaitu tiga lelaki dan dua perempuan.

Media Baharu