fb fb fb fb fb

Raptai ASEAN Ke-47 lancar, Malaysia siap sedia

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 24 Oktober - Raptai pergerakan delegasi sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijalankan malam tadi berlangsung dengan lancar dan teratur.

Keadaan berkenaan memperlihatkan tahap kesiapsiagaan tinggi pasukan keselamatan negara menjelang penganjuran rasmi sidang berprestij itu.

Tinjauan RTM mendapati latihan yang bermula sekitar pukul 8.00 malam itu melibatkan beberapa lokasi utama di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Seramai 52 agensi keselamatan dan strategik termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut terlibat.

Raptai berkenaan memberi tumpuan kepada penyelarasan pergerakan delegasi, kawalan keselamatan dan tindak balas kecemasan bagi memastikan kelancaran perjalanan sidang kemuncak yang bakal menghimpunkan pemimpin utama rantau ini.

Kerjasama erat antara semua agensi terlibat menunjukkan tahap koordinasi yang tinggi dalam memastikan keselamatan dan keselesaan para pemimpin serta tetamu antarabangsa sepanjang sidang berlangsung.

Hasil daripada ujian lapangan tersebut, tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan negara dilihat berada pada tahap yang amat memuaskan, sekali gus menjamin keselamatan dan kelancaran sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD