fb fb fb fb fb

Banjir: Jumlah penduduk terjejas di Perak terus meningkat

FOTO FB SAHABAT L.M.S ( Larut, Matang, Selama PERAK)

TAIPING, 24 Oktober -Situasi banjir di Perak terus memburuk apabila seramai 1,931 penduduk di Larut, Matang dan Selama serta Manjung telah dipindahkan ke 23 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 4.00 pagi tadi.

Di Manjung, kira-kira 378 penduduk terjejas daripada 115 keluarga ditempatkan di 3 PPS.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan, PPS diaktifkan secara berperingkat bagi menampung peningkatan paras air dan jumlah penduduk terjejas.

Antara lokasi yang digunakan termasuk Dewan Orang Ramai Simpang Halt, Dewan Perdana Trong, Sekolah Kebangsaan Simpang serta beberapa masjid dan dewan serbaguna berhampiran.

Sementara itu, di Manjung, mangsa banjir turut ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu, Pantai Remis dan Sekolah Agama Rakyat Padang Serai, dengan operasi menyelamat dan bantuan digerakkan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta JKM.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam masa sama mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan negeri itu, manakala paras air di Sungai Kurau dan Sungai Kerian dilaporkan berada hampir ke tahap amaran.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD