fb fb fb fb fb

Masjid, surau bawah JAKIM, JAWI diarah laksana solat hajat untuk Palestin

FOTO REUTERS

PUTRAJAYA, 24 Oktober - Semua masjid dan surau di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah untuk mengadakan solat hajat secara serentak selepas solat Jumaat bagi memohon perlindungan Allah SWT demi keselamatan Masjid Al-Aqsa dan rakyat Palestin yang terus ditindas oleh rejim zionis Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar mengajak seluruh umat Islam memperkukuh doa, solidariti dan sokongan moral terhadap perjuangan mempertahankan Masjid Al-Aqsa yang merupakan  lambang maruah dan kesucian umat Islam sejagat.

Datuk Dr. Mohd Na'im menyeru semua Jabatan Agama Islam Negeri agar mengambil inisiatif yang sama mengarahkan semua masjid dan surau di seluruh negara turut sama melaksanakannya.

Beliau menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan terbaharu di media berhubung keadaan Masjid Al-Aqsa yang kini berdepan risiko keruntuhan akibat kerja penggalian agresif yang dijalankan oleh rejim Zionis Israel di sekitar dan bawah kawasan Kota Lama Baitulmaqdis.

"Masjid Al-Aqsa bukan sekadar bangunan bersejarah ia adalah kiblat pertama umat Islam dan antara tiga masjid suci yang dimuliakan dalam Islam.

"Oleh itu, keselamatan dan kesejahteraannya mesti dipelihara dan dipertahankan," katanya menerusi kenyataan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM