fb fb fb fb fb

Banjir di tujuh negeri membabitkan 12,345 penduduk terjejas kekal berada di PPS


KUALA LUMPUR, 5 Januari- Setakat pagi ini, masih terdapat sebanyak 12,345 penduduk terjejas banjir melibatkan tujuh negeri berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat JKM, 180 PPS yang dibuka itu turut melibatkan kawasan Segamat, Johor yang merekodkan jumlah tertinggi iaitu dengan 52 PPS .

Kawasan lain di Johor yang masih terjejas adalah sekitar Mersing, Kota Tinggi, Muar, Tangkak dan Batu Pahat.

5,313 penduduk daripada 1,415 keluarga dipindahkan ke 83 PPS di seluruh negeri.

Sementara di Sabah merekodkan 2,675 penduduk terjejas banjir dengan 23 PPS setakat ini yang menempatkan kesemua mangsa daripada 1,119 keluarga.

Banjir di Sabah melibatkan Daerah Kota Marudu, Pitas, Telupid, Sandakan, Beluran, dan Daerah Kecil Paitan.

Di Pahang, 1,460 penduduk daripada 462 keluarga kini ditempatkan di 39 PPS.

Banjir membabitkan kawasan di lapan daerah iaitu Raub, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Sementara itu, Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan dan Sungai Serting di Padang Gudang, Bera masih lagi merekodkan bacaan melebihi paras bahaya, namun menunjukkan trend menurun pada malam tadi.

Manakala di Negeri Sembilan, 1,488 penduduk terjejas banjir melibatkan kawasan Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin.

15 PPS masih dibuka bagi menempatkan keseluruhan penduduk terjejas dariapda 462 keluarga.

Seterusnya, tiga daerah di Melaka iaitu Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin masih merekodkan penduduk terjejas banjir berjumlah 1,350 penduduk daripada 350 keluarga.

Kesemua mereka masih ditempatkan di 16 buah PPS.

Selangor pula merekodkan pengurangan mangsa terjejas banjir dengan jumlah 40 penduduk daripada 12 keluarga.

Mereka ditempatkan di dua PPS, iaitu Balai Raya MPKK Banting dan Dewan orang ramai Kampung Kelanang.

Terengganu mencatatkan penurunan jumlah mangsa banjir iaitu seramai 19 orang daripada lima keluarga di daerah Kemaman.

Mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga.

Media Baharu