fb fb fb fb fb

JPJ Kelantan iring lori balak ke Stesen Penguatkuasa Mentara

GUA MUSANG, 5 Januari - Video tular papar kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengiringi beberapa lori balak di kawasan Gua Musang, Kelantan, sebenarnya sedang melaksanakan Operasi Khas Lori Balak.

Menerusi operasi itu, JPJ menahan 30 lori balak di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang dan bertindak membuat pemeriksaan sebelum kesemua lori berkenaan diarahkan untuk ditimbang di Stesen Penguatkuasa Mentara diringi kenderaan rasmi JPJ.

JPJ dalam kenyataan memaklumkan, "tindakan kenderaan JPJ mengiringi lori-lori itu, bagi memastikan pemandu lori terlibat tidak meloloskan diri daripada kawalan JPJ."

Ia juga merupakan satu daripada prosedur operasi standard (SOP) JPJ bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Justeru pihak JPJ menyelar perkongsian video tular yang dilihat mencalar imej JPJ, selain menimbulkan persepsi negatif orang ramai.

JPJ tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan dengan membuat laporan polis sekiranya tuduhan negatif menggugat kredibiliti dan imej JPJ dalam melaksanakan tugas rutin.

Selain itu, melalui operasi berkenaan, JPJ telah mengeluarkan 56 notis kesalahan melibatkan Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, Seksyen 224 APAD 2010 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu