KUALA LUMPUR, 5 Januari- Tiga sungai di Pahang masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya, masing-masing dua di Bera dan satu di Pekan.
Bacaan dicatatkan setakat jam 7 pagi tadi berdasarkan laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Sungai berkenaan ialah Sungai Sertin di Jambatan Padang Gudang, Bera yang merekodkan bacaan 32.09 meter berbanding paras bahaya 30.50 meter.
Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera,Bera pula merekodkan bacaan 26.39 meter berbanding 26 meter paras bahaya.
Manakala Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan mencatat bacaan 16.43 meter, berbanding paras bahaya 14.90 meter.
Sementara itu, tiga sungai mencatatkan bacaan pada paras amaran iaitu Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran, Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong dan Sungai Triang di Triang, Bera.
Manakala paras waspada pula membabitkan tujuh sungai.