fb fb fb fb fb

Rangkuman banjir

KUALA LUMPUR, 5 Januari - Jumlah penduduk terjejas banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor dan Pahang meningkat malam tadi.

Namun di Negeri Sembilan, Melaka serta Sabah jumlah yang menghuni di PPS mencatatkan penurunan.

Di Selangor dan Terengganu, jumlah penduduk terjejas banjir kekal seperti pada sebelah petang.

Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar R Vidyananthan berkata jumlah penduduk terlibat banjir meningkat kepada 5,923 orang setakat pukul 8 malam tadi, berbanding 5,588 orang petang tadi dengan jumlah PPS yang masih beroperasi di 7 daerah kekal 81 melibatkan 1,585 keluarga.

“Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,311 orang, Tangkak (601), Mersing (540), Kota Tinggi (131), Kluang (120) dan Muar (118) dan Batu Pahat (102). Ketika ini hanya Batu Pahat yang mengalami hujan manakala Segamat, Kluang, Kota Tinggi dan Mersing pula mendung sementara di Tangkak dan Muar cuaca cerah,” kata R Vidyananthan dalam satu kenyataan.

Sementara itu di Pahang Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah penduduk terjejas banjir sedikit meningkat kepada 2,308 orang berbanding 2,265 orang pada petang tadi.

Sebanyak 37 PPS beroperasi di 8 daerah iaitu Raub, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan penduduk terkesan banjir menurun kepada 1,628 individu membabitkan 448 keluarga dengan 15 PPS dibuka setakat malam tadi berbanding 1,666 individu melibatkan 462 keluarga dengan 16 PPS.

Di Melaka, jumlah penduduk di PPS menurun kepada 1,771 orang daripada 472 keluarga pada pukul 8 malam tadi berbanding 2,155 orang daripada 565 keluarga pada pukul 4 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua penduduk yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, 9 kawasan di Melaka Tengah dan 11 kawasan di Jasin - BERNAMA

Media Baharu