fb fb fb fb fb

Tiada keadaan luar jangka berlaku hari ketiga fenomena air pasang besar


SABAK BERNAM, 4 Januari - Tiada keadaan luar jangka berlaku memasuki hari ketiga fenomena air pasang besar di sekitar Sabak Bernam, Selangor.

Keadaan terkawal itu dijangka kekal jika tiada angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sabak Bernam, Leftenan Mohd Fuad Bibet, hasil pemantauan pasukannya paras air laut petang ini dan semalam kekal sama iaitu pada paras bawah 4 meter.

Walaupun fenomena air pasang pada kali ini berskala kecil berbanding November lalu,rondaan dan pemantauan di kawasan persisiran pantai diteruskan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Dari kesiapsiagaan, anggota seramai 30 orang pelbagai tugas membuat pemantauan dan juga di bilik gerakan dan kita juga membuat satu rondaan bersepadu dengan agensi-agensi di bawah pengurusan bencana daerah untuk membuat hebahan tentang fenomena air pasang besar yang berlaku selama 4 hari di kawasan setempat," kata beliau yang ditemui Berita RTM.

Bagi penduduk sekitar Sabak Bernam pula, langkah waspada masih diambil walaupun tiada tanda akan berlaku fenomena air pasang besar.

" Kalau ikut kebiasaan, lumrah dekat kawasan di sini jika air pasang besar ia akan sampai tahap ketinggian 5 kaki lebih, kalau lebih tinggi ia akan melimpah, pihak berkuasa juga membuat pemantauan bertanyakan keadaan di sini, Alhamdulillah tiada apa-apa berlaku," kata penduduk, Ahamad Wakiman Juki.

Media Baharu