fb fb fb fb fb

Rangka tindakan, jawatankuasa tangani gelandangan akan diwujudkan -PM

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bagi
Kesejahteraan Golongan Rentan) 

KUALA LUMPUR, 3 Ogos - Kerajaan mengambil pendekatan usaha sama dengan pelbagai pihak bagi menangani isu gelandangan dalam membantu golongan itu untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bagi Kesejahteraan Golongan Rentan yang dihadiri oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri berkaitan serta pegawai-pegawai kanan kementerian dan jabatan terlibat.

Menerusi satu kenyataan media, beliau menjelaskan mesyuarat tersebut telah bersetuju untuk mewujudkan rangka tindakan dan penubuhan jawatankuasa mengenai isu gelandangan bagi menetapkan hala tuju berkaitan isu tersebut.

Ini kerana pada masa kini, tiada punca kuasa dan perundangan yang khusus dalam pengoperasian dan pengendalian gelandangan di negara ini.

Antara program sedia ada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan adalah Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, Rumah Bimbingan Gelandangan dan Pusat Transformasi Anjung Kelana.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Bagi
Kesejahteraan Golongan Rentan) 

Mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk meningkatkan pendaftaran pusat jagaan sedia ada, menggandakan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan dan menyemak semula Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) serta Peraturan-Peraturan Pusat Jagaan 1994.

"Sementara itu, Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 (Akta 802) akan dikuatkuasakan sebagai persediaan kepada unjuran Malaysia mencapai status Negara Tua menjelang 2030 serta menyokong perkembangan industri penjagaan kesihatan warga emas di pusat jagaan swasta.

Bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pusat jagaan, KPWKM turut melaksanakan Projek Rintis Penyampaian Perkhidmatan Alternatif (Alternative Service Delivery, ASD) di sebuah pusat jagaan warga emas bermula pada 21 November 2021," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pendekatan baharu ini melibatkan kerjasama strategik melalui perkongsian kepakaran NGO yang berpengalaman dalam penjagaan warga emas untuk memastikan pusat jagaan diuruskan dengan berkesan.

Media Baharu