KUALA LUMPUR, 7 Mac- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal dan anak-anak yatim di Istana Negara.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda menyantuni dan mengurniakan sumbangan melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor kepada 300 ibu tunggal serta anak yatim dari sekitar ibu negara dan Johor.
Raja Zarith Sofiah turut mengurniakan sumbangan kepada 20 pelajar Maahad Tahfiz Dhiya Ul Islah, Kampung Semarak.
Majlis turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berangkat ke program tazkirah Ramadan dan menunaikan solat maghrib berjemaah di Surau Utama Istana Negara.