fb fb fb fb fb

Adik Hadin Azman hilang, polis mohon maklumat orang ramai

Nur Khalisya, 16 tahun dilaporkan hilang sejak 25 Februari lalu di sekitar Jalan Peel, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Adik perempuan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Hadin Azman, dilaporkan hilang sejak 25 Februari lalu di sekitar Jalan Peel, Kuala Lumpur.

Hadin menerusi hantaran di media sosial semalam memaklumkan kehilangan adiknya, Nur Khalisya, 16 tahun dan merayu orang ramai untuk membantu mengesan remaja berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohamad Lazim Ismail, mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada ibu remaja itu yang menyedari kehilangan anaknya ketika mahu menjemputnya pulang dari sebuah sekolah di Jalan Peel pada pukul 4 petang, 25 Februari.

Menurut Mohamad Lazim, Nur Khalisya kali terakhir dilihat memakai baju-T sukan sekolah berwarna biru dan seluar trek hitam.

"Ibu mangsa memberitahu bahawa beliau menghantar anaknya ke sekolah pada pukul 7 pagi dan dimaklumkan bahawa anaknya perlu menghadiri kelas tarian pada petang hari yang sama.

"Bagaimanapun, selepas menunggu hampir 40 minit, anaknya tidak muncul dan pengawal keselamatan sekolah memaklumkan tiada pelajar berada di kawasan sekolah pada waktu tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, ibu remaja itu kemudian menghubungi rakan sekelas anaknya dan diberitahu bahawa Nur Khalisya dilihat berjalan kaki pulang ke rumah sekitar pukul 5 petang dari kawasan Taman Permainan PPR Laksamana, Jalan Peel.

Namun, sehingga laporan polis dibuat, remaja itu masih belum ditemukan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kehilangan ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9281 0715 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE