KOTA BHARU, 14 Mac- Umat Islam di seluruh negara diingatkan agar sentiasa meningkatkan kawalan kebersihan kendiri selain terus mematuhi SOP bagi mengelak penularan wabak COVID-19.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kelonggaran yang diberikan kerajaan bermula awal bulan depan bukan alasan untuk masyarakat leka sebaliknya memanfaatkan sebaik mungkin peluang itu untuk meningkatkan amalan dalam suasana lebih selamat.
Ujar beliau, Ramadan kali ini berbeza setelah kebenaran menunaikan solat sunat tarawih dan solat fardu kembali seperti bisa berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Jaga kawalan kendiri jaga kebersihan seperti mana biasa la jangan kita lali dan lalai dengan sebab dah terbuka sop ni dah boleh pergi masjid, boleh makan colek kedai pun dah boleh beroperasi 24 jam, semuanya bergantung kepada diri kita sendiri jadi nasihat saya supaya ramadan yang datang pada kali ini banyakkan doa supaya allah taala cepat angkat wabak
COVID-19 ini," katanya.
Beliau ditemui media pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Jom ke Sekolah 2022 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu.
(Datuk Ahmad Marzuk Shaary melayani anak-anak penerima sumbangan Program Jom ke Sekolah 2022 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu)
Tambah beliau, semua program sepanjang Ramadan perlu mematuhi SOP khusus yang akan diperincikan pada masa terdekat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa memberitahu, Yayasan Taqwa - Majlis MAIWP membelanjakan lebih RM2.3 juta, bantuan persekolahan kepada 14,000 penerima di seluruh negara.
Bantuan diagihkan kepada pelajar daripada keluarga B40, anak yatim dan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.