fb fb fb fb fb

Ramadan MADANI: YaPEIM salur RM1.2 juta bantu 7,700 pelajar

FOTO RTM / JAKIM

KUALA LUMPUR, 20 Mac- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan RM1.2 juta bagi program Ramadan MADANI YaPEIM yang berlangsung di lebih 20 lokasi seluruh negara membabitkan seramai 7,700 pelajar. 

Majlis pelancaran program diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan disempurnakan oleh Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar & Penglibatan Komuniti UIAM, Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin.

Ketua Pegawai Eksekutif YaPEIM, Tuan Ameer Ali Vali Mohamed menyatakan bahawa program tersebut adalah sebahagian daripada usaha menyantuni pelajar yang memerlukan di bulan Ramadan serta membantu persiapan Aidilfitri mereka. 

"Program Ramadan MADANI YaPEIM ini merupakan satu program pada tahun yang diperuntukkan sejumlah RM1.2 juta.

"Pelajar yang dimaksudkan ialah pelajar dari institusi pengajian tinggi, sekolah rendah dan sekolah menengah dalam kalangan keluarga miskin tegar, keluarga miskin, dan B40.

"Sebahagian daripada mereka juga penerima manfaat program Didik MADANi YaPEIM yang kita anjurkan pada tahun lepas," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran program Ramadan MADANI YaPEIM di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Sebanyak RM183,000 disalurkan di empat institusi pengajian tinggi yang berlangsung serentak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), dan Politeknik Balik Pulau, termasuk bantuan tunai kepada pelajar serta tajaan majlis berbuka puasa.

YAPEIM turut menegaskan komitmen dalam meneruskan program kebajikan yang selaras dengan Pelan Transformasi Al-Falah di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sehingga kini, program Ramadan MADANI YaPEIM telah menyantuni pelajar di sebelas lokasi dan akan diteruskan ke lebih banyak institusi dalam tempoh berbaki Ramadan kali ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE