KUALA LUMPUR, 9 Mac – Memahami Rukun Negara sebagai prinsip kenegaraan bukan sekadar pilihan, sebaliknya satu kewajipan bagi seluruh rakyat Malaysia.
Juru Bicara Malaysia Madani, Jabatan Perdana Menteri, Muhammad Azri Nor Azman menegaskan pemahaman serta penghayatan terhadap asas kenegaraan amat penting sebagai tunjang perpaduan dan keharmonian negara secara menyeluruh.
Menurutnya, Rukun Negara berperanan sebagai platform penyatuan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya dalam satu tatacara hidup yang berbudaya, beradab dan bertamadun.
“Hari ini ramai yang tidak memahami Rukun Negara, termasuk bahagian pertama yang menekankan tentang mencapai perpaduan lebih erat. Bila mereka tidak faham, akan timbul masalah keharmonian di Malaysia.
“Kita mesti anggap ini sebagai satu kewajipan kerana kita adalah pewaris masa depan negara. Malaysia baru merdeka 68 tahun, maka pastikan setiap rakyat sedar bahawa mereka adalah penyatu negara bukan hanya hari ini, tetapi untuk selamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media, di sini.
Dalam pada itu, Muhammad Azri turut menekankan kepentingan memegang asas kenegaraan ketika menggunakan platform media sosial.
Jelasnya, rakyat perlu menjaga ketertiban dan kesantunan bahasa serta berhati-hati dalam mengemukakan pandangan peribadi bagi mengelakkan perselisihan faham yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Media sosial ini ibarat senjata yang berbahaya. Kita mesti bijak menggunakannya. Bila bercakap dalam media sosial, pastikan setiap ayat betul.
“Kadang-kadang, apabila kita komen atau menulis sesuatu, orang tidak dapat membaca intonasi kita. Oleh itu, sebelum membuat hantaran atau berkongsi sesuatu, pastikan setiap perkataan dan fakta sudah diperiksa dengan teliti,” katanya.