LAWAS, 9 Mac – Seramai 200 asnaf menerima sumbangan khas sempena Ramadan menerusi Program Ziarah Ramadan anjuran Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) di sini, semalam.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memuji inisiatif ini bukan sahaja membantu golongan memerlukan tetapi juga mengeratkan hubungan antara kerajaan dan rakyat.
“Saya dimaklumkan bahawa sumbangan ini diagihkan melalui konsep ‘wakalah’, memastikan bantuan sampai kepada penerima yang layak secara lebih teratur.
“Saya berharap program ini dapat terus memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat serta menjadi bukti komitmen kita dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan.
"Keprihatinan sebegini amat bermakna sepanjang Ramadan, bulan yang menggalakkan amalan kebajikan,” katanya menerusi kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Beliau juga berharap kejayaan program ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menyertai usaha kebajikan serta tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Dengan peningkatan hasil, lebih banyak sumbangan dapat disalurkan kepada masyarakat. Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk membangunkan negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Menurut beliau, program tahunan ini bukan sahaja menjadi platform penyampaian bantuan kepada golongan asnaf, malah memperkukuh nilai keprihatinan dalam komuniti.
Katanya, ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Turut hadir dalam majlis itu ialah pemimpin tempatan, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong dan wakil LCDA.