fb fb fb fb fb

Rakyat utamakan kualiti hidup selepas bersara

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 September - Rakyat Malaysia kini lebih menitikberatkan kualiti hidup selepas bersara berbanding tempoh hayat, dengan kesejahteraan kewangan menjadi faktor utama yang mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal.

Menurut Tinjauan Asia Care (ACS) 2025 oleh Manulife, tujuh daripada 10 responden mengakui kesejahteraan kewangan bukan sahaja mempengaruhi tahap kesihatan, malah turut memberi kesan kepada jangka hayat.

Kajian yang melibatkan 1,000 responden itu turut mendedahkan usia ideal yang diingini hanyalah 68 tahun, iaitu lebih rendah berbanding purata jangka hayat rakyat Malaysia pada 76 tahun.

Manulife dalam kenyataannya memaklumkan hampir lapan daripada 10 responden mentakrifkan kesihatan sebagai keupayaan untuk kekal berdikari, manakala hampir separuh bimbang kehabisan wang sebelum tamat usia.

"Lebih 60 peratus pula menjangkakan akan bergantung kepada skim persaraan awam dan kemudahan kesihatan kerajaan, namun majoriti masih terlalu bergantung kepada simpanan tunai yang mendedahkan mereka kepada risiko inflasi," menurut Manulife.

Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Malaysia, Vibha Coburn berkata, kehidupan bermakna bukan ditentukan oleh tempoh hidup, sebaliknya cara menjalani kehidupan dengan kestabilan kewangan dan kesihatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Investments Malaysia, Jason Chong, menasihatkan rakyat agar mempelbagaikan aset dan mendapatkan khidmat penasihat kewangan bagi menjamin kedudukan kewangan jangka panjang.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE