PUTRAJAYA, 26 September - Kejayaan pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) hanya dicapai selepas kerajaan memperkukuh tatakelola, memperbaiki sistem perolehan dan mengurangkan ketirisan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter adalah bukti kerajaan mampu mengurus fiskal negara dengan lebih cekap walaupun berdepan kenaikan harga minyak dunia.
“Bukan semua negara mampu melakukannya. Hanya selepas kita memperbaiki tatakelola, memperkukuh penguatkuasaan dan mengelak ketirisan, barulah kita yakin memperkenalkan BUDI95,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan hari ini.
Menurut Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, reformasi tadbir urus sejak tahun lalu termasuk pelaksanaan tender terbuka, usaha membanteras rasuah serta penyelarasan dasar kewangan telah meletakkan asas kukuh bagi pelaksanaan subsidi bersasar tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat.
Datuk Seri Anwar berkata walaupun Arab Saudi sebagai negara pengeluar minyak utama pernah menawarkan harga serendah 50 sen seliter pada 2013, harga minyak di negara itu kini melonjak antara RM2.60 dan RM2.90 seliter, manakala Qatar turut menetapkan harga lebih tinggi daripada Malaysia.
“Jawapannya ialah kerana kita mulakan dengan tatakelola yang baik. Di sini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kewangan II, timbalan menteri, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan rakan-rakan yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik,” jelasnya.
Beliau menegaskan penjimatan berbilion ringgit daripada langkah itu akan disalurkan semula kepada rakyat melalui pembangunan pendidikan, kesihatan, kemudahan awam dan program kebajikan golongan miskin.
“Subsidi ini tidak boleh terus diberi kepada semua termasuk warga asing kerana mereka tidak membayar cukai seperti rakyat Malaysia. Adil jika kita fokuskan kepada keluarga tempatan,” katanya.
Menurutnya, sistem baharu itu memberi tumpuan kepada warganegara manakala pengguna luar negara tidak lagi menerima manfaat yang tidak sepatutnya.
Datuk Seri Anwar menjelaskan, penjimatan subsidi itu akan memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara termasuk bantuan tunai, skim pendidikan anak-anak miskin, peningkatan kapasiti hospital kerajaan dan peruntukan tambahan bagi membaik pulih sekolah serta infrastruktur luar bandar.
Mengulas mengenai kekeliruan penyasaran subsidi, Perdana Menteri menegaskan terdapat perbezaan jelas antara bukan warganegara dan kenderaan berpendaftaran asing.
Dasar kekal, iaitu kenderaan bernombor asing dilarang membeli RON95. Manakala harga tanpa subsidi yang dikenakan kepada bukan warganegara merujuk kepada pekerja asing dan ekspatriat yang menggunakan kenderaan berdaftar tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam yang menjadi tulang belakang kejayaan pelaksanaan dasar baharu tersebut.
“Saya tahu langkah ini mencabar, tetapi saya berterima kasih kerana pegawai di Kementerian Kewangan, KPDN, JPJ, agensi IT dan keseluruhan jentera kerajaan bekerja siang malam untuk memastikan dasar ini berjalan lancar. Inilah semangat khidmat untuk rakyat yang patut kita banggakan,” katanya.
Datuk Seri Anwar menegaskan, kejayaan BUDI95 juga membuktikan Malaysia mampu melaksanakan reformasi besar secara tersusun dan telus, berpaksikan kepentingan rakyat serta keadilan sosial.