KUALA LUMPUR, 26 September – Kerajaan komited membantu delegasi Malaysia dalam Misi Global Sumud Flotilla 2025 ke Gaza yang dijangka berdepan situasi mencabar termasuk kemungkinan ditahan pihak Zionis.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Malaysia akan mengutamakan usaha koordinasi keselamatan dengan kerjasama negara-negara berdekatan Palestin bagi memastikan semua peserta selamat dibawa pulang.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengadakan lawatan rasmi pada Khamis ke Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Gudang Pusat MAPIM bagi menyuntik semangat serta memperteguh tekad seluruh delegasi dan penggerak misi Global Sumud Flotilla.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (lima, kiri) bergambar selepas membuat panggilan video menghubungi rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Sumud Flotilla / Foto Bernama
Dalam lawatan tersebut, beliau turut menyatakan kekaguman terhadap tahap profesionalisme serta keupayaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Cinta Salam Malaysia (CSM) yang mengendalikan sekretariat kemanusiaan global di SNCC.
Pusat itu beroperasi 24 jam memantau flotilla selain memastikan naratif berita kekal tepat dengan objektif misi.
Ahmad Zahid juga menerima taklimat perkembangan terkini misi daripada Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby, sebelum meluangkan masa mengadakan sesi persidangan video bersama kesemua 34 delegasi Malaysia di pusat berkenaan.