TANGKAK, 5 Oktober - Rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dalam usaha membantu pembebasan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) daripada tahanan rejim zionis Israel.
Beberapa orang awam yang ditemui melahirkan rasa syukur atas perkembangan positif itu serta menyeru agar perjuangan membela rakyat Palestin diteruskan.
"Kami nak mengucapkan pertama sekali tahniah kepada semua aktivis dan sukarelawan Malaysia. Semoga proses membawa mereka pulang ke tanah air dipermudahkan. Jangan berhenti bercakap tentang Gaza," kata Nur Syara Abd Wahid.
"Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana berjaya membebaskan semua aktivis kita yang ditahan oleh negara haram Israel. Kepada para aktivis, kami hargai usaha anda membantu saudara kita di Gaza. Kami mendoakan kepulangan anda semua dengan selamat, insya-Allah," ujar Muhammad Adam Afiq Hassan.
"Terima kasih kepada pihak Sumud Malaysia yang berusaha membawa bekalan ke Gaza. Juga penghargaan kepada kerajaan Malaysia yang membantu membebaskan sukarelawan kita," kata Mohd Asri Samad.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membebaskan aktivis kita. Juga terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus mendoakan keselamatan mereka," tambah Muhammad Fattah Kadar.
Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi itu kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel, dan dijadualkan berlepas pulang ke tanah air esok.