KUCHING, 5 Oktober - Usaha memperkasa kesedaran masyarakat terhadap bahaya HIV terus dipergiat di kawasan Parlimen Puncak Borneo menerusi pelaksanaan program kesihatan komuniti.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, peningkatan kes HIV yang dilaporkan di Kuching kebelakangan ini perlu ditangani melalui pendekatan pendidikan dan kesedaran awam mengenai kepentingan pencegahan.
“Sejak dua tahun lalu, saya turut membantu dari segi dana bagi menganjurkan program ini, dan kita dapat melihat peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pink Oktober 2.0: Kesedaran Kanser Payudara dan Servik di Kuching, hari ini.
Datuk Willie turut menegaskan bahawa kerjasama antara agensi amat penting bagi memastikan mesej kesihatan dapat disampaikan dengan berkesan kepada masyarakat.
Beliau menambah, program kesedaran seumpama itu akan diteruskan bagi menjamin kesejahteraan penduduk, selain membina masyarakat yang lebih prihatin terhadap kesihatan diri dan keluarga.