KUALA NERUS, 5 Oktober - Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama agensi berkaitan kini mempergiat pelaksanaan langkah pemulihan bagi menangani masalah hakisan dan kerosakan jalan di Mengabang Telipot, Batu Rakit, Kuala Nerus.
Projek baik pulih jalan yang sepatutnya siap sepenuhnya dan diserahkan kepada kerajaan negeri pada bulan ini, terpaksa ditangguhkan berikutan kejadian hakisan teruk akibat ombak kuat dan air pasang besar yang melanda kawasan berkenaan, September lalu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Samsuri Mokhtar berkata, JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini mengambil langkah segera bagi membaik pulih semula kawasan terjejas, termasuk membina struktur kawalan hakisan bagi mengelak kerosakan berulang.
“Jabatan Pengairan dan Saliran juga mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan hakisan itu daripada bertambah buruk. Jadi mungkin diletakkan kanvas yang sesuai di hadapan dan akan ada struktur seperti batu-batu besar yang akan diletakkan, dan akhirnya kawasan itu akan menjadi lebih landai.
"Projek ini belum siap lagi dan apabila berlaku bencana seperti itu, kita berharap dalam tempoh terdekat sebelum Monsun Timur Laut benar-benar tiba, kerja-kerja pembaikan dapat disiapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau lokasi terbabit di Mengabang Telipot, hari ini.
Menurut beliau, setakat ini tiada peruntukan tambahan diperlukan memandangkan kerja-kerja pembaikan masih dilaksanakan bawah peruntukan asal.
Untuk rekod, pada 25 September lalu, projek baik pulih Jalan Mengabang Telipot–Batu Rakit berhampiran Kampung Tanjung, Kuala Nerus yang hampir siap 99 peratus, mengalami kerosakan semula akibat hakisan.
Kerja-kerja pembaikan berjumlah RM4.95 juta itu dilaksanakan menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan dijangka disiapkan sebelum musim Monsun Timur Laut bermula.