KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Kejayaan kerajaan dalam usaha membebaskan 23 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia membuktikan keteguhan prinsip dan keberkesanan diplomasi negara.
Ia sekali gus menjadi manifestasi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpaksikan nilai kemanusiaan serta komitmen dalam mempertahankan keamanan dunia.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Fazreen Fauzi dalam kenyataan memaklumkan, usaha bersepadu yang diterajui Perdana Menteri bersama Kementerian Luar Negeri membuktikan kerajaan konsisten dalam mempertahankan prinsip manusia sejagat dengan menolak penindasan dan menegakkan keadilan di peringkat antarabangsa.
"Tindakan pantas itu turut menyerlahkan kewibawaan diplomasi Malaysia yang kekal disegani oleh dunia.
"GPMS berdiri teguh bersama kepimpinan negara dan seluruh rakyat dunia dalam menyokong perjuangan membebaskan bumi Palestin" menurut kenyataan itu.
GPMS juga menghargai perjuangan wira negara dalam misi GSF kerana keberanian, keikhlasan dan ketabahan luar biasa dalam menyebarkan mesej solidariti rakyat Malaysia kepada saudara-saudara kita di Palestin.
"Keberanian mereka mencerminkan semangat Malaysia Madani yang berpaksikan kasih sayang, keadilan dan perjuangan nilai kemanusiaan.
"Semoga Malaysia terus menjadi negara yang dihormati, berdaulat dan menjadi suara nurani dunia," tambah kenyataan itu.
Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi itu kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel, dan dijadualkan berlepas pulang ke tanah air esok, menurut Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.