KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan membebaskan Palestin semakin terserlah, termasuk melalui sambutan luar biasa terhadap kepulangan 23 Wira dan Wirawati Global Sumud Flotilla di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ribuan rakyat telah menzahirkan solidariti mereka secara fizikal di lapangan terbang dan juga melalui platform media sosial.
Menurut beliau, usaha mereka bukan sahaja menyokong perjuangan kemanusiaan di Gaza, tetapi turut memperkukuh kesedaran global terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Saya lihat di saluran TikTok RTM sahaja mendapat tontonan belasan ribu, di beberapa platform lain puluhan ribu, dan ada juga saluran yang mencecah antara 200,000 hingga hampir 300,000 ribu tontonan.
"Ini menunjukkan rakyat Malaysia, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian, amat menyokong usaha membebaskan Palestin serta meningkatkan kesedaran di dalam dan luar negara, termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya ketika diwawancara dalam rancangan Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang disiarkan di TV1, hari ini.
Datuk Fahmi turut menyatakan penghargaan kerajaan terhadap peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang berani membawa suara kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus bersuara dan menyokong usaha pembebasan sembilan rakyat Malaysia yang kini masih ditahan, sambil memperkukuh solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.