KUANTAN, 8 Oktober - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengingatkan orang ramai agar tidak mencemarkan longkang awam selepas ia dibersihkan sebagai langkah mengatasi masalah banjir kilat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khalid Mohamed, berkata pembersihan longkang merupakan tugas rutin pihaknya bagi memastikan sistem saliran air tidak tersumbat.
Bagaimanapun, katanya, masyarakat turut memikul tanggungjawab menjaga kebersihan longkang supaya aliran air dapat berjalan lancar sehingga ke sungai.
“Kami bersihkan longkang-longkang, tetapi selepas itu peranan masyarakat amat penting.
“Kebanyakan kes banjir kilat berlaku akibat saliran tersumbat, dan punca utama ialah kurangnya kesedaran masyarakat terhadap kebersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Pahang, di sini hari ini.
Khalid menambah, kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik, sekali gus mengurangkan risiko banjir terutama di kawasan Pantai Timur yang kini berdepan Monsun Timur Laut.